Thursday 5 July 2012

Elakkan perasaan hasad dengki...



DENGKI adalah sifat keji dan tercela. Islam menegah keras umatnya berdengki. Banyak keburukan lahir akibat dengki yang boleh melemahkan perpaduan ummah.


Banyak ayat al-Quran dan hadis menjelaskan keburukan akibat dengki. Dengki adalah niat untuk mencari jalan atau tindakan untuk menghilangkan kekayaan, kedudukan, kejayaan dan kebaikan yang diperoleh oleh orang lain.
Dengki biasanya timbul daripada perasaan dendam, cemburu, marah, benci dan niat jahat. Dengki adalah sifat iblis. Akibat sifat dengki yang menguasai iblis mengubah daripada beriman kepada durhaka kepada Allah.
Iblis menyimpan perasaan dengki terhadap Adam yang dipilih Allah menjadi khalifah di muka bumi. Iblis dan seluruh keturunan syaitan termasuk golongan laknat disebabkan sifat dengki.
Jelas sekali betapa buruknya kesan dengki. Sesiapa dalam dirinya ada sifat dengki, mudah dipengaruhi syaitan. Syaitan berusaha menyesatkan manusia.
Allah memberi peringatan kepada manusia niat syaitan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisa, ayat 60).
Sifat itu bukan sekadar menambah dosa, malah mengurangkan himpunan pahala. Orang mengamalkan sifat dengki akan mengalami muflis di akhirat apabila kebaikan yang diperoleh melalui amalan lain binasa dek sifat dengki.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dengki itu memakan (membinasakan) kebajikan (pahala), seperti api memakan (membakar) kayu yang kering.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Perbuatan dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan buruk. Perbuatan itu boleh berlaku melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti memukul dan membunuh.
Pembunuhan pertama sesama manusia berpunca perasaan dengki. Peristiwa itu membabitkan Qabil dan Habil, dua anak Nabi Adam yang berebut pasangan untuk dijadikan isteri. Kisah itu dinyatakan Allah dalam surah al-Maidah, ayat 27 bermaksud: “….Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!.”
Api kemarahan dan dengki Qabil tidak dapat dikawal sehingga sanggup membunuh Habil. Sejarah itu menjadi panduan syaitan mencari kelemahan manusia dan menggunakan sepenuhnya untuk merosakkan manusia.
Allah sentiasa menguji keimanan setiap daripada kita. Sesiapa reda dan menerima dengan terbuka apa yang terjadi kepadanya memperoleh balasan baik di sisi Allah. Sesuatu yang tidak disenangi menimpa seseorang mungkin tersimpan kebaikan di sebaliknya.
Oleh itu, tidak wajar sama sekali seseorang menunjukkan sifat dengki atas apa yang diperoleh orang lain. Anggaplah orang yang menerima kebaikan itu sebenarnya sedang diuji Allah. Sekiranya dia berada di jalan benar, pasti Allah melimpahkan lebih banyak nikmat kepadanya.
Allah lebih mengetahui apa yang menimpa setiap orang. Dia berkuasa memberi dan menentukan setiap kejadian di dunia ini. Sesiapa menyimpan dengki terhadap orang lain, samalah dia cuba mengubah apa yang ditentukan Allah terhadap orang lain.
Allah berfirman bermaksud: “Adakah patut mereka dengki kepada manusia kerana kurnia yang diberikan Allah.” (Surah an-Nisa, ayat 54).
Penyebaran berita fitnah bermotif dengki adalah tindakan orang fasik. Berita palsu penuh dengan dengki, dendam dan marah dijadikan senjata melemahkan pihak yang ditentang. Sebab itu setiap orang perlu lebih berhati-hati menerima berita yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Sesiapa mempercayai berita fitnah dan melakukan apa yang bertentangan dengan hak, maka kecelakaan pasti akan menimpa kemudiannya.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Oleh: Lokman Ismai




Bagaimana untuk merawatnya...




P/s...semoga Allah menjauhi diri kte dari sifat seperti ini..nauzubillah...
peringatan tok diri aku jgk n kwn2 y aku syg...

No comments:

Post a Comment